Pengenalan
Facebook masih menjadi platform utama rakyat Malaysia mencari homestay. Ribuan iklan dan posting “Cari Homestay” muncul setiap hari, terutama menjelang musim cuti sekolah, konvokesyen universiti, cuti umum dan perayaan.
Namun di sebalik kemudahan ini, terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai pemilik homestay untuk memperdaya orang ramai.
Ramai mangsa mengakui bahawa akaun scammer kelihatan “normal” dan meyakinkan. Hakikatnya, kebanyakan akaun tersebut mempunyai corak atau red flag tertentu yang boleh dikenal pasti jika diperhatikan dengan teliti.
Penting: Tiada satu ciri pun yang boleh membuktikan seseorang itu scammer. Sebaliknya, artikel ini menerangkan beberapa petunjuk yang patut mendorong anda membuat semakan tambahan sebelum membuat sebarang bayaran.

Kenapa Facebook Menjadi Sasaran Scammer?
Facebook mempunyai jutaan pengguna aktif di Malaysia dan ramai pencari homestay menggunakan Facebook Group untuk mendapatkan cadangan dengan cepat.
Scammer mengambil kesempatan kerana:
- Akaun Facebook boleh diwujudkan dengan mudah.
- Mereka boleh menyertai ratusan kumpulan homestay.
- Mereka boleh menghantar mesej peribadi kepada pencari homestay.
- Identiti boleh ditukar dengan cepat jika akaun dilaporkan.
Disebabkan itu, pengguna perlu lebih berhati-hati sebelum mempercayai seseorang hanya berdasarkan profil Facebook.
1. Akaun Facebook Baru atau Kurang Sejarah Aktiviti
Ramai scammer menggunakan akaun yang baru diwujudkan kerana akaun lama telah disekat atau menerima banyak laporan.
Antara tanda yang boleh diperhatikan ialah:
- Profil baru beberapa bulan.
- Hanya 1 atau beberapa orang rakan.
- Tiada nombor telefon, alamat email, atau maklumat peribadi yang boleh disahkan.
- Sangat sedikit gambar.
- Tiada sejarah aktiviti yang konsisten.
- Tiada interaksi lama dengan rakan.
Walaupun ada pengguna sebenar yang baru membuka akaun, profil yang sangat baru wajar diperiksa dengan lebih teliti.
2. Menggunakan Nama Yang Sukar Disahkan
Sesetengah akaun menggunakan:
- nama samaran,
- nickname,
- anonymous,
- nama yang terlalu umum,
- menggunakan nama glamor yang sama dengan kebanyakan akaun
- nama yang tidak konsisten dengan nama perniagaan,
- nama perniagaan pada akaun peribadi,
- gabungan huruf dan nombor yang pelik.
Pemilik homestay yang menguruskan perniagaan secara profesional lazimnya mempunyai identiti yang lebih konsisten di Facebook, WhatsApp dan platform lain.
3. Gambar Profil Tidak Konsisten atau Tiada Gambar Profil
Perhatikan gambar profil.
Ada akaun yang menggunakan:
- gambar bunga,
- kartun,
- pemandangan,
- gambar individu yang tidak pernah muncul dalam posting lain,
- gambar yang kelihatan dijana AI.
- tiada gambar profile
Jika gambar profil tidak selari dengan identiti akaun, lakukan semakan tambahan iaitu:
Ciri-Ciri Halaman:
Likes dan Followers Tidak Seimbang
Halaman mempunyai ribuan likes tetapi interaksi (komen, share) sangat rendah. Ini menunjukkan likes dibeli secara palsu.
Ulasan Palsu
Ulasan lima bintang yang ditulis dalam tempoh yang sama, menggunakan bahasa yang terlalu formal atau serupa antara satu sama lain. Akaun yang memberi ulasan juga sering merupakan akaun kosong.
Gambar Homestay Terlalu Cantik
Gambar yang dipaparkan terlalu profesional, bersih, dan sempurna walaupun profil meragukan. Ini sering merupakan gambar dicuri daripada laman Airbnb, Booking.com, atau laman web hartanah luar negara.
Tiada Video Sebenar
Scammer jarang memaparkan video lawatan (walkthrough) sebenar homestay. Mereka mengelak daripada menunjukkan bukti visual yang sukar untuk dipalsukan.
4. Tiada Kehidupan Sosial Yang Normal
Akaun Facebook sebenar biasanya mempunyai corak penggunaan yang semula jadi seperti:
- ucapan hari lahir,
- komen daripada keluarga,
- gambar aktiviti harian,
- interaksi dengan rakan.
Sebaliknya, akaun yang hanya digunakan untuk menawarkan homestay tanpa aktiviti lain patut diberi perhatian. Kebanyakan post adalah iklan sahaja tanpa sebarang komen atau kandungan yang tulen.
5. Aktif Hampir Sepenuhnya Dalam Facebook Group Homestay
Scammer biasanya menyertai banyak kumpulan Facebook dan hanya memberi tumpuan kepada posting seperti:
“Cari homestay Shah Alam.”
“Homestay dekat hospital.”
“Homestay konvo UiTM.”
Mereka akan menawarkan homestay di hampir semua lokasi tanpa menunjukkan kaitan yang jelas dengan kawasan tersebut.
6. Terus Menghubungi Melalui Mesej Peribadi (PM)
Daripada membalas secara terbuka di ruangan komen, scammer sering menghantar mesej peribadi terlebih dahulu.
Tujuannya ialah mengelakkan ahli kumpulan lain memberi amaran atau menyemak kesahihan maklumat yang diberikan.
7. Mendesak Bayaran Deposit Dengan Segera
Ayat seperti:
- “Ramai sedang tunggu.”
- “Kalau lambat, saya beri kepada orang lain.”
- “Deposit sekarang untuk lock tarikh.”
merupakan teknik tekanan yang sering digunakan.
Pemilik homestay yang profesional biasanya memberi ruang kepada pelanggan untuk membuat semakan terlebih dahulu.
8. Tidak Mahu Membuat Video Call atau Menunjukkan Homestay Secara Langsung
Jika anda meminta:
- video call,
- video terkini,
- gambar semasa,
tetapi mereka terus memberi alasan tanpa menawarkan alternatif, itu ialah petunjuk bahawa maklumat yang diberikan perlu disemak dengan lebih teliti.
9. Akaun Bank Tidak Berkaitan Dengan Identiti Perniagaan
Sebelum membuat pembayaran, perhatikan:
- Nama pemilik akaun.
- Adakah ia konsisten dengan identiti yang digunakan?
- Adakah mereka bersedia menjelaskan jika nama akaun berbeza?
Jangan takut untuk bertanya. Pengusaha yang sah biasanya boleh memberikan penjelasan yang munasabah.
10. Tidak Mempunyai Identiti Perniagaan Yang Jelas
Ramai pengusaha homestay hari ini mempunyai sekurang-kurangnya satu atau lebih saluran rasmi seperti:
- Facebook Page,
- laman web,
- profil perniagaan,
- lokasi di Google Maps.
Jika seseorang hanya bergantung kepada akaun Facebook peribadi tanpa sebarang maklumat lain yang boleh disahkan, buatlah semakan tambahan sebelum membayar.
11. Menyalin Gambar dan Kandungan Daripada Homestay Lain
Scammer sering mengambil:
- gambar bilik,
- poster,
- logo,
- penerangan homestay,
- testimoni.
Kadangkala hanya nombor telefon dan nombor akaun bank yang berbeza.Anda boleh mengesahnya dengan menggunakan ciri Google Reverse Image Search.
12. Menyebarkan Tuduhan Tanpa Bukti
Antara taktik yang semakin membimbangkan ialah membuat tuduhan bahawa homestay lain ialah scammer tanpa mengemukakan bukti yang boleh disahkan.
Tindakan ini boleh mengelirukan pencari homestay dan mengalihkan perhatian kepada akaun scammer sendiri.
Sebagai pengguna, elakkan membuat kesimpulan hanya berdasarkan dakwaan di media sosial. Semak fakta daripada beberapa sumber terlebih dahulu.
13. Mewujudkan Facebook Group Homestay Untuk Membina Kepercayaan
Selain menggunakan akaun Facebook peribadi, sesetengah scammer turut mewujudkan Facebook Group berkaitan homestay sebagai sebahagian daripada taktik mereka untuk kelihatan lebih dipercayai.
Mereka biasanya memilih nama kumpulan yang umum dan mudah ditemui dalam carian, contohnya:
- Homestay Shah Alam Terbaik
- Homestay Klang Trusted
- Homestay Kuala Lumpur
Tujuannya ialah menarik seramai mungkin ahli dan menjadikan kumpulan tersebut kelihatan aktif. Apabila seseorang melihat sebuah kumpulan yang mempunyai ribuan atau puluhan ribu ahli, mereka mungkin menganggap semua tawaran di dalam kumpulan itu telah disemak atau disahkan. Sebenarnya, jumlah ahli bukanlah bukti bahawa sesuatu kumpulan atau pengiklan di dalamnya boleh dipercayai.
Dalam sesetengah keadaan, scammer mungkin:
- Menggunakan kumpulan sebagai tempat mengiklankan homestay yang tidak wujud.
- Menghubungi pencari homestay melalui mesej peribadi selepas mereka membuat hantaran dalam kumpulan.
- Memadam komen atau amaran yang boleh menjejaskan aktiviti mereka jika mereka merupakan pentadbir kumpulan.
- Menggunakan beberapa akaun Facebook lain untuk memberi komen positif atau berpura-pura menjadi pelanggan yang berpuas hati.
Namun begitu, penting untuk difahami bahawa bukan semua Facebook Group homestay dikendalikan oleh scammer. Ramai pemilik homestay, komuniti setempat dan pentadbir yang bertanggungjawab menguruskan kumpulan secara telus untuk membantu orang ramai mencari penginapan. Namun anda perlu lebih kritikal untuk menyemak senarai profil admin dan jejak media sosialnya. Ada group yang adminnya adalah warga asing atau dari luar negara. Sudah tentu kewujudan group ini amat meragukan dari segi kesahan dan kebolehpercayaannya.
Oleh itu, jangan menilai sesuatu kumpulan hanya berdasarkan nama atau jumlah ahlinya. Sebaliknya, semak individu atau perniagaan yang menawarkan homestay, cara mereka berkomunikasi, maklumat yang diberikan serta sama ada mereka mempunyai identiti perniagaan yang jelas dan boleh disahkan.
Bagaimana Membuat Semakan Sebelum Membayar Deposit?
Sebelum memindahkan wang, lakukan beberapa langkah mudah:
- Semak nombor akaun bank melalui platform semakan yang sesuai.
- Cari nombor telefon di Google.
- Semak Facebook Page atau laman web rasmi jika ada.
- Pastikan maklumat yang diberikan konsisten.
- Minta gambar atau video terkini jika perlu.
- Jangan terburu-buru membuat bayaran hanya kerana didesak.
Tanda Amaran Semasa Berurusan
Harga Terlalu Murah
Harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran adalah umpan klasik. Contohnya, homestay dengan kolam renang di kawasan popular ditawarkan pada harga RM100 semalam sedangkan harga pasaran adalah RM400 ke atas.
Desakan Untuk Bayar Cepat
Scammer akan mewujudkan rasa terdesak seperti “ada orang lain nak book”, “offer last minute”, atau “harga akan naik esok” untuk memaksa anda membuat keputusan tergesa-gesa.
Hanya Menerima Bayaran Tunai atau Transfer Terus
Mereka menolak kaedah pembayaran yang ada perlindungan pembeli seperti kad kredit atau platform rasmi. Mereka meminta transfer ke akaun peribadi atau dompet digital seperti Touch ‘n Go, Boost, atau GrabPay.
Enggan Buat Video Call atau Tunjuk Lokasi Sebenar
Apabila diminta untuk membuat lawatan tapak atau video call untuk menunjukkan keadaan homestay, scammer akan memberi alasan seperti sibuk, masalah internet, atau homestay sedang diduduki tetamu.
Kontrak atau Resit Tidak Profesional
Resit yang dihantar adalah dalam format WhatsApp sahaja, tiada nombor resit rasmi, tiada cop syarikat, atau dokumen yang kelihatan seperti telah diedit menggunakan aplikasi mudah.
Tanda Amaran Dalam Komunikasi
Tidak Konsisten Dalam Menjawab Soalan
Apabila ditanya soalan terperinci tentang lokasi, kemudahan, atau syarat penginapan, jawapan mereka tidak konsisten atau berubah-ubah.
Elak Panggilan Telefon
Scammer lebih selesa berkomunikasi melalui teks sahaja dan mengelak daripada bercakap secara terus. Ini kerana suara mereka mungkin mendedahkan identiti sebenar atau mereka tidak biasa dengan butiran yang mereka dakwa.
Tawaran Komisen Kepada Ejen Tidak Rasmi
Scammer kadangkala menawarkan komisen kepada sesiapa yang boleh membawa pelanggan. Ini adalah taktik untuk mewujudkan rangkaian yang lebih luas bagi menipu lebih ramai orang.
Nombor Telefon Tidak Dapat Disahkan
Nombor yang diberikan tidak boleh dicari dalam direktori perniagaan, tidak mempunyai profil WhatsApp Business yang sah, atau nombor tersebut baru sahaja didaftarkan.
Cara Mengesahkan Kesahihan Homestay
- Cari nama homestay di Google Maps dan semak ulasan bebas
- Minta alamat penuh dan semak melalui Google Street View
- Semak sama ada perniagaan berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia)
- Lakukan Google Reverse Image Search pada setiap gambar yang dipaparkan
- Semak portal aduan seperti Semak Mule (semak.my) untuk nombor akaun yang dilaporkan
- Hubungi penginapan melalui nombor telefon yang ditemui secara bebas, bukan nombor yang diberikan oleh penjual
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Anda Ditipu
Jika anda telah menjadi mangsa penipuan homestay, ambil langkah-langkah berikut dengan segera:
- Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam dengan menyediakan semua bukti komunikasi dan resit
- Hubungi bank anda untuk memohon pembatalan transaksi (chargeback) jika bayaran dibuat melalui kad
- Laporkan akaun Facebook penipu menggunakan fungsi Report yang tersedia
- Buat laporan kepada MCMC melalui portal aduan.skmm.gov.my
- Kongsi pengalaman anda dalam kumpulan pengguna untuk memberi amaran kepada orang lain
10. Kesimpulan
Scammer homestay sentiasa mengubah taktik mereka, tetapi kebanyakan masih meninggalkan petunjuk yang boleh dikenal pasti. Akaun yang baru diwujudkan, identiti yang tidak jelas, aktiviti profil yang mencurigakan, desakan membuat bayaran segera dan keengganan memberikan maklumat yang boleh disahkan merupakan antara tanda yang memerlukan perhatian.
Tiada satu ciri yang membuktikan seseorang itu scammer. Namun, apabila beberapa petunjuk ini muncul serentak, sebaiknya tangguhkan pembayaran sehingga semua maklumat dapat disahkan.
Kewaspadaan adalah senjata terbaik untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan homestay. Sentiasa lakukan semakan latar belakang yang teliti, elak daripada tergesa-gesa membuat keputusan, dan utamakan platform penginapan yang mempunyai sistem perlindungan pembeli yang kukuh. Ingat, jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, ia mungkin memang tidak nyata.
Tempah Homestay Dengan Lebih Yakin Bersama InapKita
Di InapKita, kami percaya bahawa tempahan yang selamat bermula dengan maklumat yang telus. Kami menggalakkan semua pencari homestay untuk membuat semakan sebelum membayar deposit dan memilih pengusaha yang mempunyai identiti perniagaan yang jelas, komunikasi yang profesional serta maklumat yang boleh disahkan.
Semak dahulu. Bayar kemudian. Percutian anda lebih berharga daripada tawaran yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan.